Monday, December 1, 2008

kh@si@t @ir z@m-z@m

AIR zamzam mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan berbanding air lain. Perkara ini diperakui oleh banyak kajian saintifik, termasuk sarjana Barat.

Air zamzam mempunyai banyak khasiat dan kelebihan seperti sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud: "Sebaik-baik air di permukaan bumi adalah air zamzam. Padanya ada makanan yang menyegarkan dan penawar bagi segala penyakit."

Ia juga mempunyai beberapa keistimewaan antaranya tidak pernah kering walaupun berjuta-juta manusia memanfaatkannya setiap hari, terutama pada musim haji.

Air zamzam tidak akan kering hingga hari kiamat. Hal itu, adalah bukti keagungan dan kebesaran Allah.

Ulama sepakat bahawa sunat bagi orang yang mengerjakan ibadah haji dan umrah, minum air zamzam. Ini disebabkan Nabi Muhammad SAW minum air zamzam.

Berdasarkan nas asy-Syafi'eyah, bahawa air zamzam itu sunat diminum dalam apa keadaan sekali pun. Hukum sunat itu tidak hanya khusus selepas mengerjakan tawaf, bahkan sunat diminum bagi setiap orang walaupun bukan pada waktu mengerjakan ibadah haji atau umrah.

Disebutkan dalam hadis, Jabir bin `Abdullah, katanya: "Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: "Air zamzam itu diminum untuk keperluan apa saja." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Dalam erti kata lain, jika meminumnya dengan maksud menghilangkan rasa haus, maka Allah akan menghilangkan rasa hausnya. Jika meminumnya untuk menghilangkan rasa lapar, maka Allah akan mengenyangkannya. Sekiranya, meminumnya untuk menyembuhkan penyakit, maka Allah akan menyembuhkan penyakitnya.

Diriwayatkan Rasulullah gemar meminumnya dan tangan Baginda yang mulia dan penuh barkah pernah dicelupkan ke dalam perigi zamzam.

Rasulullah pernah bersabda: "Air zamzam itu diminum mengikut apa yang diniatkan atau dikehendaki." (Hadis riwayat Jabir, lbnu Abbas, lbnu Umar dan Muawiyah)

Ahli ilmu meluaskan huraian mereka terhadap hadis di atas. Al-Munawa berkata: "Air zamzam adalah penghulu segala air, paling mulia, berharga dan disukai.

"Allah memberi minum dan menolong putera kekasihnya, Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim dengan air zamzam. Maka, pertolongan seperti itu juga boleh diperoleh oleh orang selepas baginda iaitu bagi sesiapa saja yang meminumnya dengan niat ikhlas, termasuk kita.

"Ramai ulama meminumnya kerana sesuatu hajat dan mereka berhasil memperolehnya."

Disebut pengarang kitab al-'Aqdus Sameen bahawa Ahmad bin Abdillah Asy-Syarifee, seorang khadam di Tanah Haram Makkah meminum air zamzam dengan niat dan tujuan untuk berubat daripada buta.

Lalu, dengan izin Allah, beliau sembuh. Menurut pengarang kitab ini lagi, bahawa kejadian itu dikhabarkan sendiri gurunya, al-Fufti Abdul Rahman bin Abil Khair alFasi.

Al-lmam an-Nawawi sebagai mengulas hadis di atas berkata: "Maknanya, barang siapa minum kerana sesuatu hajat, nescaya memperoleh hajatnya itu.

"Hal ini, dicuba ulama dan orang soleh bagi segala hajat mereka, sama ada hajat akhirat mahupun dunia. Alhamdulillah, semuanya memperolehnya." (Lihat Tahzibul Asma Wal-Lughat 3/139).

Al-'Allamah lbnul Qayyim al-Jauziah pula berkata: "Saya dan juga orang lain mencuba berubat dengan air zamzam. "Saya berubat dengannya dalam banyak penyakit dan sembuh dengan izin Allah. Demikian juga saya menyaksikan orang yang menggantikan makanan biasa dengan air zamzam hampir setengah bulan atau lebih, tetapi tidak lapar. Bahkan dia juga tawaf bersama orang ramai, mampu menggauli isterinya dan berpuasa."

Al-'Allamah seterusnya berkata: "Sudah berlaku kepada diri saya sewaktu di Makkah, saya sakit. Pada masa itu, saya benar-benar ketiadaan ubat dan doktor.

"Maka, saya pun berubat sendiri dengan al-Fatihah. Saya ambil air zamzam dan bacakan di atasnya berulang kali. Kemudian, saya minum lalu mendapati kesembuhan yang sempurna.

"Sejak itu saya melakukannya atas banyak penyakit dan semuanya memberi sebesar-besar manfaat."


PROFESOR JEPUN DAN AIR ZAM-ZAM

Air merupakan salah satu rahmat Allah kepada manusia, Manusia tidak boleh hidup tanpa air, dan manusia tidak boleh hidup tanpa rahmat dari Allah. Ustaz kemudian bercerita bahawa dia telah berkesempatan menghadiri satu seminar mengenai AIR yang berlangsung di Hotel Istana baru-baru ini yang mana kebanyakan peserta yang hadir terdiri daripada orang bukan Islam kecuali dua orang (Ustaz Abdullah dan seorang Pensyarah dari UM).

Penceramahnya seorang Profesor yang pakar tentang air dari Jepun. Beliau menunjukkan hasil kajiannya mengenai air, beberapa "slide" ditunjukkan dan dipancarkan di layar putih kepada hadirin. Sampel-sampel air yang diambil dari berbagai sumber air (sungai, laut, perigi dan bermacam lagi).

Maka terpancarlah berbagai-bagai rupa bentuk susunan molekul-molekul air tersebut. Ada yang berupa seolah-olah seperti jin tetapi samar-samar, tidak begitu jelas (dengan telinga yang besar, bertanduk dan sebagainya) rupa yang menggerunkan dan menakutkan.

Lalu Profesor itu berkata "Banyak lagi sampel-sampel air yang lain tetapi rupa molekul-molekulnya hampir sama, sekarang saya nak tunjukkan sampel air yang berlainan dari sampel-sampel air yang saya tunjukkan tadi"

Profesor itu pun tunjukkan, maka terpancarkan satu rupa bentuk molekul air yang tersusun cantik berupa seolah-olah seperti berlian (bersegi-segi) , bersinar- sinar dan sinarannya mengeluarkan warna-warna yang menarik melebihi 12 warna. MasyaAllah, cantiknya.

Lalu profesor bertanya "Siapakah di antara kamu semua yang tahu sampel air apakah ini".

Hadirin semua senyap, dan kemudian, Pensyarah dari UM mengangkat tangan dan menjawab "Saya rasa itu adalah sampel air zam-zam".

Profesor berkenaan memanggil Pensyarah tersebut naik ke atas dan bertanya "Berikan saya sebab kenapa awak berkata air itu adalah air zam-zam.

"Kerana air zam-zam adalah air yang termulia di dunia ini" Jawab Pensyarah.

Profesor berkata "Saya tak tahu samada betul atau tidak air zam-zam itu mulia tetapi memang betul ini adalah sampel air zam-zam."

Kemudian Professor mengatakan bahawa, kata-kata juga dapat mempengaruhi rupa bentuk molekul-molekul air.

Lalu di dalam dewan itu mereka membuat ekperimen bagaimanakah yang dikatakan kata-kata dapat mempengaruhi rupa bentuk molekul-molekul air. Semua hadirin dikehendaki membaca sesuatu kepada air mineral masing-masing. Lalu seorang volunteer bangun untuk menguji bagaimana rupa air yang telah dibaca. Bila ditunjukkan di skrin, nampak molekul air membentuk seolah-olah seperti tokong Cina (dengan janggut yang panjang dan perut yang buncit).

Bila tiba giliran Ustaz, air yang dibaca dengan Al-Fatihah, Selawat dan Ayat Kursi maka nampaklah rupa molekul air seperti berlian dan berkilau-kilau.

Subhanallah. Lalu Ustaz disuruh oleh Profesor membaca sebarang ayat atau kata-kata yang tidak baik maka nampaklah di skrin molekul air berupa seperti sel-sel barah.
Subhanallah.

Daripada ceramah yang Ustaz sampaikan ini marilah kita sama-sama mengambil iktibar daripadanya. Ini adalah kata-kata dari Ustaz Abdullah: "Jika hendak air itu merasa manis maka masukkanlah gula, jika hendak air itu berwarna maka masukkanlah pewarna dan jika hendak air itu mulia maka masukanlah ayat-ayat yang mulia kepadanya".

No comments: